Tatacara Penamaan Calon


(1) Calon yang berhasrat untuk bertanding dalam pemilihan MPP hendaklah membayar wang cagaran sebanyak RM50.00 dan bayaran wang proses sebanyak RM10.00 di Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Universiti Malaya dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis pemilihan MPP yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.

(2) Calon yang telah membuat pembayaran wang cagaran dan wang proses tersebut akan diberikan akses untuk memasuki sistem e-penamaan calon mulai dari tarikh pembayaran tersebut dibuat sehingga satu jam sebelum tempoh penamaan calon tamat.

(3) Apabila calon mengakses sistem e-penamaan, calon dikehendaki:
          (a) memilih kawasan pemilihan yang ingin ditandingi;
          (b) menamakan pencadang dan penyokong pencadangan calon; dan 
          (c) membuat perakuan bahawa segala butiran yang terkandung di dalam sistem e-penamaan calon adalah tepat dan benar.

(4) Calon yang tidak memenuhi kelayakan seperti yang ditetapkan di peraturan 13 Peraturan-Peraturan Pemilihan MPP, secara automatiknya tidak layak memohon sebagai calon.

(5) Pencadang dan penyokong pencadangan calon hendaklah mengesahkan status mereka sebagai pencadang dan penyokong pencadangan calon di dalam sistem e-penamaan calon.

(6) Pada hari penamaan calon, calon dikehendaki hadir bersama dengan pencadang dan penyokong pencadangan calon di hadapan pegawai yang dinyatakan di sub-peraturan 17(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Pemilihan MPP, di mana berkenaan.

(7) Pegawai yang di nyatakan di sub-peraturan 17(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Pemilihan MPP dikehendaki menyemak butir-butir di dalam sistem e-penamaan calon dan membuat pengesahan secara atas talian (online) di dalam sistem e-penamaan calon tersebut. Pegawai tersebut dikehendaki mencetak dokumen penamaan calon yang telah disahkan untuk ditandatangani oleh pegawai tersebut, calon, pencadang dan penyokong pencadangan calon. Dokumen yang telah lengkap ditandatangani akan disimpan oleh pegawai yang diberi kuasa masing-masing dan satu salinan diserahkan kepada Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.

(8) Urusan yang dinyatakan di perenggan (6) dan (7) di atas hendaklah disempurnakan dalam tempoh di antara jam 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi pada hari penamaan calon.

(9) Selepas tamat tempoh penamaan calon, senarai nama calon mengikut kawasan pemilihan yang dipertandingkan akan dipaparkan di laman web pelajar yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP dan di papan notis rasmi Universiti atau di tempat lain di Universiti yang mudah dilihat sebagaimana ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.