Tatacara Kempen


(1) Wakil Calon

(a) Wakil calon ialah pelajar ijazah dasar yang dilantik oleh calon dari Fakulti/Pusat/Akademi yang sama dengan calon bagi mana-mana kawasan pemilihan MPP dan akan dikenali sebagai "Wakil Calon Kempen"; dan

(b) Tugas Wakil Calon Kempen adalah untuk menjalankan kerja-kerja yang bersangkutan dengan kempen pemilihan MPP seseorang calon itu dan juga sebagai pemerhati di pusat pengundian sahaja.
 

(2) Pelantikan

(a) Setiap calon boleh melantik tidak melebihi tujuh (7) orang Wakil Calon Kempen;

(b) Bagi tujuan pelantikan Wakil Calon Kempen, calon hendaklah mengisi Borang 8;

(c) Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP akan mengeluarkan tanda nama khas bagi setiap Wakil Calon Kempen sebagai tanda pengenalan diri; dan

(d) Wakil Calon Kempen hendaklah terdiri daripada pelajar ijazah dasar yang tidak mempunyai rekod kesalahan tatatertib.

(3) Pihak yang dibenarkan berkempen

(a) Calon, pencadang calon, penyokong pencadangan calon dan Wakil Calon Kempen dibenarkan berkempen;

(b) Calon  hendaklah  memastikan  bahawa  pencadang  calon, penyokong    pencadangan    calon    dan    Wakil    Calon    Kempen hanya berurus dengan Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP dan tidak melibatkan pihak luar atau pihak dalam Universiti bersabit dengan Pemilihan MPP; dan

(c) Calon, pencadang calon, penyokong pencadangan calon dan Wakil Calon Kempen yang ingin mengadakan kempen berbentuk pidato umum hendaklah memohon secara bertulis dengan menggunakan borang yang disediakan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP. Permohonan dan jadual kempen hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Jawatankuasa Pelaksana MPP bagi kempen yang ingin diadakan di semua tempat terbuka di dalam Kampus selain di Fakulti dan kolej kediaman. 

(d) Sekiranya kempen pidato umum tersebut ingin diadakan di kawasan Fakulti, kebenaran bertulis daripada Dekan Fakulti yang berkenaan hendaklah diperolehi sekurang-kurangnya dua (2) jam sebelum kempen diadakan.

(e) Sekiranya kempen pidato umum tersebut ingin diadakan di kawasan kolej kediaman, kebenaran bertulis daripada Pengetua kolej kediaman yang berkenaan hendaklah diperolehi sekurang-kurangnya dua (2) jam sebelum kempen diadakan.(f) Pembesar Suara,Pelaung Suara, Penguat Suara atau alat seumpamanya yang lain dibenarkan untuk digunakan bagi tujuan kempen dalam 
tempoh kempen sahaja di kawasan terbuka sahaja.

(4) Kawasan  Kempen

(a) Kawasan kempen merujuk kepada Kampus Universiti Malaya atau mana-mana kawasan yang ditentukan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP;

(b) Kawasan-kawasan yang dilarang adalah perpustakaan, dewan peperiksaan, surau, Balai Islam, bilik bacaan, bilik-bilik penghuni dan blok koridor kolej kediaman;

(c) Calon, pencadang calon, penyokong pencadangan calon dan Wakil Calon Kempen boleh berkempen dalam bilik kuliah dengan kelulusan Dekan/Pengarah Fakulti/Pusat/Akademi untuk tempoh tidak melebihi sepuluh (10) minit seorang dengan syarat tiada kuliah/tutorial sedang berjalan dan bilik kuliah itu tidak digunakan untuk kuliah atau tutorial yang berikutnya; dan

(d) Pihak Universiti tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa yang berlaku kepada mana-mana pelajar atau apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap mana-mana pelajar yang mengadakan kempen di luar Kampus.

 

(5) Larangan  sewaktu  Berkempen

(a) Sebarang ucapan yang menyentuh peribadi orang perseorangan atau kumpulan, menghasut untuk melakukan keganasan dan kerosakan baik pada diri mahupun pada harta benda dan isu-isu seperti perkauman serta agama adalah dilarang;

(b) Sebarang paksaan, ugutan dan deraan dalam apa jua bentuk terhadap orang perseorangan sama ada secara fizikal atau mental adalah dilarang; dan

(c) Calon, pencadang calon, penyokong pencadangan calon, Wakil Calon Kempen dan mana-mana pelajar tidak dibenarkan memberi sebarang hadiah/cenderamata bagi tujuan meraih undi.

(d) Pelajar-pelajar hendaklah mematuhi Kod Tatakelakuan Aktiviti-aktiviti Politik Di Dalam Kampus Universiti Malaya sepanjang menjalankan sebarang aktiviti kempen.

 

(6) Tempoh  Kempen

Semua calon Pemilihan MPP dibenarkan untuk berkempen dalam tempoh seperti yang telah ditetapkan dalam notis Pemilihan MPP yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.

 

(7) Poster,  Biodata,  Manifesto  dan  Kain  Pemidang

(a) Calon hendaklah mempunyai biodata dan manifesto untuk berkempen;

(b) Calon, pencadang calon, penyokong pencadangan calon atau Wakil Calon Kempen tidak dibenarkan mencetak, mempamer atau mengedar apa-apa poster, kain pemidang, atau menggunakan apa-apa bentuk sebaran lain bagi tujuan kempen tanpa kebenaran terlebih dahulu dari Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP;

(c) Poster, kain pemidang, kertas biodata dan manifesto calon hendaklah dicetak oleh calon atas kos dan perbelanjaan calon sendiri setelah mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP;

(d) Bagi maksud penyediaan poster, kain pemidang, kertas biodata dan manifesto, calon hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut:
          (i) Poster:
                    (a) Hanya mengandungi gambar, nama, nombor calon, fakulti dan kawasan pemilihan calon sahaja;
                    (b) Mengikut format di Rajah 1;
                    (c) Saiz poster tidak boleh melebihi saiz kertas A4;
                    (d) Warna poster adalah bebas tetapi tidak boleh menggambarkan warna mana-mana parti politik.
                    (e) Tidak boleh mengandungi apa-apa logo atau simbol;dan
                    (f) Satu poster hanya untuk satu calon sahaja.

          (ii) Kain Pemidang:
                    (a) Hanya mengandungi gambar, nama, nombor calon, fakulti dan kawasan pemilihan calon sahaja;
                    (b) Mengikut format di Rajah 2;
                    (c) Saiz kain pemidang tidak boleh melebihi 4 meter panjang dan 1 meter lebar;dan
                    (d) Warna kain pemidang adalah bebas tetapi tidak boleh menggambarkan warna mana-mana parti politik.
                    (e) Tidak boleh mengandungi apa-apa logo atau simbol.
                    (f) Satu kain pemidang hanya untuk satu calon sahaja.

          (iii) Biodata dan Manifesto:
                    (a) Biodata dan Manifesto hendaklah dicetak di atas kertas bersaiz A4 mengikut format di Rajah 3;
                    (b) Hendaklah dicetak di atas kertas berwarna putih sahaja;
                    (c) Manifesto hendaklah mengandungi pernyataan mengenai hal ehwal akademik dan kebajikan pelajar; dan
                    (d) Tidak boleh mengandungi apa-apa logo atau simbol.

(e) Mana-mana poster, kain pemidang, biodata dan manifesto yang tidak mematuhi syarat-syarat seperti dinyatakan di perenggan (d) di atas boleh diturun atau ditanggalkan oleh pegawai yang dipertanggungjawabkan mengenai hal ehwal keselamatan Universiti. Tindakan tatatertib boleh diambil ke atas mana-mana pelajar yang cuba menghasut supaya menurunkan dan merosakkan poster, kain pemidang, biodata dan manifesto mana-mana calon;

(f) Poster boleh ditampal atau digantung dengan cara yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP. Penggunaan cat, gam dan apa-apa bahan di dinding bangunan/bahagian bangunan tidak dibenarkan;

(g) Gambar bagi tujuan poster dan kertas biodata hendaklah menggunakan gambar sepertimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP ;dan

(h) Calon adalah bertanggungjawab untuk memastikan poster, kain pemidang, biodata dan manifestonya diturunkan atau ditanggalkan dalam tempoh dua puluh empat jam (24) selepas hari pengundian. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan wang cagaran calon dilucut hak.

 

(8) Aduan  Terhadap  Pelanggaran  Tatacara  Kempen

(a) Mana-mana pelajar ijazah dasar yang ingin membuat aduan tentang pelanggaran tatacara kempen oleh mana-mana pelajar boleh memuat turun borang aduan yang disediakan di laman web yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP;

(b) Borang yang telah lengkap diisi hendaklah disertakan dengan bukti-bukti dan diserahkan ke kaunter di Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni untuk diuruskan oleh pihak berkuasa yang dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP ;

(c) Pihak berkuasa yang dilantik untuk menguruskan aduan tersebut boleh membuat keputusan berhubung aduan tersebut.