PENUBUHAN JAWATANKUASA

 


Bagi tujuan pemilihan MPP, jawatankuasa berikut ditubuhkan: 

         
          (a) Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP
          (b) Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP
          (c) Jawatankuasa Rayuan Pemilihan MPP; dan 
          (d) Jawatankuasa Audit Pemilihan MPP.


KAWASAN PEMILIHAN


(1) Bagi tujuan pemilihan MPP, Naib Canselor boleh menetapkan kawasan Umum dan kawasan Fakulti sebagai kawasan pemilihan.
(2) Kawasan Umum adalah terbahagi kepada zon seperti di Jadual 1.
(3) Setiap pemilihan di kawasan Fakulti adalah di bawah pengendalian Dekan atau wakilnya dan pemilihan di kawasan Umum di bawah pengendalian seorang pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor.
(4) Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP boleh, dalam keadaan tertentu, menentukan pengendalian pemilihan di kawasan Fakulti atau kawasan Umum.


JAWATANKUASA INDUK PEMILIHAN MPP


(1) Naib Canselor hendaklah melantik mana-mana Timbalan Naib Canselor untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.
(2) Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP hendaklah terdiri daripada─ 

          (a) Pengerusi; 

          (b) Pendaftar; 

          (c) Bursar; 

          (d) Dekan Fakulti atau Timbalan Dekan sebagai wakil; 

          (e) Pengetua kolej kediaman; 

          (f) Pengarah Pusat Teknologi Maklumat;

          (g) Pengarah Keselamatan; dan

          (h) tidak lebih daripada tiga orang pekerja lain Universiti yang dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP. 

(3) Jika Pengerusi tidak berupaya menjalankan kewajipan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP atas apa-apa alasan, Naib Canselor boleh menamakan mana-mana ahli Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP untuk menjalankan kewajipan Pengerusi itu selama tempoh Pengerusi itu tidak berupaya menjalankan kewajipan jawatannya.
(4) Seorang Setiausaha hendaklah dilantik oleh Pengerusi daripada kalangan pekerja Universiti.

(5) Korum bagi mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP ialah satu pertiga keahliannya.

(6) Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya satu kali sebelum pemilihan MPP dan boleh pada bila-bila masa yang difikirkan perlu oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.

(7) Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP hendaklah mempunyai fungsi dan kuasa yang berikut─

(a) menentukan tarikh pemilihan MPP 

(b) menetapkan apa-apa jumlah wang yang perlu dibayar bagi tujuan pemilihan MPP 

(c) menentukan proses pembuangan undi Universiti sama ada secara sistem pengundian e-undi sepenuhnya atau sebahagiannya atau sistem pengundian manual 

(d) menentukan Pusat Pengundian 

(e) membentuk, menggubal dan merangka tatacara dan dasar pemilihan MPP 

(f) mengambil apa-apa tindakan yang difikirkannya sesuai untuk memastikan pematuhan terhadap peruntukan-peruntukan dalam Peraturan-Peraturan ini dan semua dasar pemilihan MPP 

(g) mencadangkan kepada Naib Canselor untuk menangguh atau membatalkan pemilihan MPP, atas alasan yang munasabah 

(h) membatalkan mana-mana calon yang didapati melanggar mana-mana peruntukan Peraturan-Peraturan ini 

(i) membuat keputusan muktamad mengenai perkara-perkara yang dipertikaikan dari tafsiran Peraturan-Peraturan ini dan 

(j) menjalankan apa-apa fungsi dan kuasa lain yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan ini.

 

JAWATANKUASA PELAKSANA PEMILIHAN MPP


(1) Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP hendaklah dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP dari kalangan pekerja Universiti.


(2) Seorang Setiausaha hendaklah dilantik oleh Pengerusi dari kalangan pekerja Universiti.


(3) Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP boleh mencadangkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP untuk membentuk apa-apa jawatankuasa kecil lain bagi memastikan kelancaran penjalanan pemilihan.


(4) Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP hendaklah mempunyai fungsi dan kuasa yang berikut─

(a) merancang, mentadbir, menyelaras dan mengawal selia proses penjalanan pemilihan MPP dan semua perkara yang berkaitan dengannya; 

(b) mengeluarkan apa-apa arahan mengenai penjalanan pemilihan MPP dan mengambil apa-apa langkah yang difikirkannya patut bagi memastikan sesuatu pemilihan berjalan dengan lancar dan teratur; 

(c) menentukan petugas, dokumentasi dan peralatan pemilihan yang berkaitan dengan pelaksanaan pemilihan MPP; 

(d) mengambil tindakan yang difikir wajar terhadap mana-mana calon, pencadang calon atau penyokong pencadangan calon, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang melanggar Peraturan-Peraturan ini, setelah memberi peluang untuk membuat penjelasan lisan; dan 

(e) menjadi tempat rujukan berhubung apa-apa kekeliruan dalam penjalanan pemilihan MPP.
 


JAWATANKUASA RAYUAN PEMILIHAN MPP


(1) Keanggotaan Jawatankuasa Rayuan Pemilihan MPP hendaklah terdiri daripada Pengerusi dan dua orang pekerja lain Universiti yang dilantik oleh Naib Canselor.


(2) Mana-mana anggota yang dilantik di bawah subperaturan (1) tidak boleh menjadi ahli dalam mana-mana jawatankuasa lain di bawah perenggan 4(a),(b) dan (d).


(3) Seorang Setiausaha hendaklah dilantik oleh Pengerusi dari kalangan pekerja Universiti dengan syarat bahawa Setiausaha itu tidak boleh menjadi ahli atau setiausaha dalam mana-mana jawatankuasa lain di bawah perenggan 4(a),(b) dan (d).


(4) Jawatankuasa Rayuan Pemilihan MPP hendaklah mempunyai fungsi dan kuasa yang berikut─

(a) mendengar dan membuat keputusan berhubung rayuan daripada mana-mana calon, pencadang calon atau penyokong pencadangan calon atau pengundi mengikut mana-mana yang berkenaan;

(b) memanggil mana-mana orang atau pelajar untuk mendapatkan maklumat dan fakta berkaitan dengan bantahan berhubung penjalanan pemilihan MPP itu; dan

(c) mengarahkan mana-mana Ketua Pusat Pengundian menyerahkan apa-apa dokumen berkaitan pemilihan MPP kepada Jawatankuasa Rayuan Pemilihan MPP. 


(5) Keputusan Jawatankuasa Rayuan Pemilihan MPP adalah muktamad.


JAWATANKUASA AUDIT PEMILIHAN MPP


(1) Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Audit Pemilihan MPP hendaklah dilantik oleh Naib Canselor dari kalangan pekerja Universiti selain daripada ahli jawatankuasa di bawah perenggan 4(a),(b) dan (c).


(2) Seorang Setiausaha hendaklah dilantik oleh Pengerusi dari kalangan pekerja Universiti dengan syarat bahawa Setiausaha itu tidak boleh menjadi ahli atau setiausaha dalam mana-mana jawatankuasa lain di bawah perenggan 4(a),(b) dan (c).


(3) Jawatankuasa Audit Pemilihan MPP hendaklah mempunyai fungsi dan kuasa yang berikut─

(a) mengesahkan data penjumlahan undi; 

(b) menghendaki mana-mana pakar (jika perlu), untuk mengesah dan memperakukan sistem pengundian ; 

(c) membuat pemeriksaan sistem pengundian di Pusat Pengundian sekurang-kurangnya sekali sebelum pengundian bermula ; 

(d) menentukan prosedur pengauditan ;

(e) menjalankan pemantauan ke atas keseluruhan perjalanan proses pemilihan ; dan 

(f) mengenalpasti apa-apa kelemahan dalam penjalanan pemilihan dan mencadangkan langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP. 
 

(4) Pengesahan yang dibuat oleh Jawatankuasa Audit Pemilihan MPP mengenai data pengundi dan data penjumlahan undi adalah muktamad.