PENJUMLAHAN UNDI

 

 

 


PUSAT PENJUMLAHAN UNDI


(1) Penjumlahan undi hendaklah dijalankan di tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.


(2) Tiada mana-mana orang dibenarkan berada di pusat penjumlahan undi kecuali setelah mendapat kebenaran Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.


(3) Walau apa pun subperaturan (2), orang yang berikut adalah dibenarkan berada di dalam pusat penjumlahan undi:

          (a) Ketua Pusat Penjumlahan Undi;

          (b) Semua ahli Jawatankuasa yang dilantik di bawah peraturan 4;

          (c) pekerja Universiti yang dilantik oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP atau Ketua Pusat Penjumlahan Undi; dan

          (d) calon, pencadang calon dan penyokong pencadangan calon.


KETUA PUSAT PENJUMLAHAN UNDI


(1) Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP hendaklah melantik seorang Ketua Pusat Penjumlahan Undi dari kalangan pekerja Universiti.


(2) Ketua Pusat Penjumlahan Undi hendaklah─

          (a) melantik mana-mana pekerja Universiti untuk membantu dalam penjumlahan undi;

          (b) menjumlahkan keseluruhan undi dari semua Pusat Pengundian;

          (c) mengesahkan sistem aplikasi e-undi di setiap pusat pengundian telah ditutup; dan

          (d) menyediakan kemudahan yang perlu untuk membolehkan penjumlahan undi berjalan dengan lancar. 
 

PENGUMUMAN KEPUTUSAN PENJUMLAHAN UNDI


(1) Apabila penjumlahan undi telah selesai, Naib Canselor atau Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh, mengumumkan keputusan penjumlahan undi.


(2) Sekiranya bilangan undi di antara calon bagi sesuatu kawasan pemilihan adalah sama banyak, pengundian semula bagi kawasan pemilihan tersebut hendaklah dilakukan pada suatu tarikh dan masa yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.


(3) Sekiranya keputusan pengundian semula di bawah subperaturan (2) adalah sama banyak, penambahan satu undi hendaklah dibuat mengikut apa-apa cara yang ditentukan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP dan cara itu hendaklah dilakukan dihadapan calon, pencadang calon atau penyokong pencadangan calon.


(4) Sekiranya berlaku proses pengundian semula menurut subperaturan (2), keputusan penjumlahan undi bagi kawasan pemilihan berkenaan hendaklah ditangguhkan. Setelah selesai proses pengundian semula tersebut, Naib Canselor atau Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP hendaklah dengan seberapa segera yang boleh, mengumumkan keputusan penjumlahan undi bagi kawasan pemilihan tersebut.


BANTAHAN DAN RAYUAN KEPUTUSAN PEMILIHAN


(1) Mana-mana calon, pencadang calon atau penyokong pencadangan calon atau pengundi yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan atau keputusan penjumlahan undi calon di bawah peraturan 34 boleh membuat bantahan secara bertulis dengan menyatakan alasannya kepada suatu Panel Bantahan yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Induk Pemilihan MPP yang dilantik oleh Naib Canselor dalam tempoh masa sebagaimana yang ditetapkan dalam notis pemilihan di bawah peraturan 11.


(2) Setiap bantahan hendaklah dikenakan bayaran pada kadar yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP dan hendaklah dibayar kepada Bursar atau wakil Universiti yang diberi kuasa oleh Bursar Universiti. Resit bagi pembayaran yang dibuat di bawah subperaturan ini hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan bantahan yang dibuat di bawah subperaturan (1).


(3) Panel Bantahan hendaklah, dalam tempoh dua puluh empat jam selepas tamat masa bantahan, membuat keputusan mengenai bantahan itu dan hendaklah memaklumkan kepada pembantah dan orang yang dibantah, mengenai keputusan dan alasan keputusannya.


(4) Jika sesuatu bantahan diterima oleh Panel Bantahan, kemenangan seseorang calon yang dibantah hendaklah disifatkan sebagai telah terbatal.


(5) Bagi maksud mesyuarat Panel Bantahan, korum bagi Panel tersebut ialah Pengerusi dan satu pertiga daripada keahliannya.


(6) Pembayaran yang dibuat menurut sub-peraturan (2) di atas tidak akan dikembalikan sama ada bantahan diterima atau ditolak.


(7) Mana-mana calon, pencadang calon atau penyokong pencadangan calon atau pengundi yang tidak berpuas hati dengan keputusan Panel Bantahan yang dibuat di bawah subperaturan (3) boleh membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Jawatankuasa Rayuan Pemilihan MPP.


(8) Setiap rayuan dikenakan bayaran mengikut jumlah sebagaimana ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP yang hendaklah dibayar kepada Bursar Universiti atau wakil Universiti yang diberi kuasa oleh Bursar Universiti.


(9) Rayuan yang dibuat di bawah subperaturan (6) hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Pemilihan MPP bersama resit bayaran dalam tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.


(10) Jawatankuasa Rayuan Pemilihan MPP hendaklah, dalam tempoh dua puluh empat jam selepas tamat masa rayuan, membuat keputusan mengenai rayuan itu dan hendaklah memaklumkan kepada perayu mengenai keputusan dan alasan keputusannya. 


(11) Pembayaran yang dibuat menurut sub-peraturan (8) di atas tidak akan dikembalikan sama ada rayuan diterima atau ditolak.