PENGUNDIAN

 


HARI PENGUNDIAN


(1) Pengundian hendaklah dijalankan pada tarikh dan masa serta di Pusat Pengundian (untuk pengundian secara laman web) seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP dalam notis pemilihan.


(2) Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP bolehlah mempamerkan suatu notis yang mengandungi panduan mengundi di kawasan Pusat Pengundian sebelum pengundian dimulakan.


(3) Setiap pengundi hendaklah mengemukakan kad pelajar atau apa-apa bukti lain yang mengesahkan status pengundi itu sebagai pelajar ijazah dasar Universiti semasa proses pendaftaran di Pusat Pengundian sebelum dibenarkan mengundi.


(4) Jika berlaku apa-apa pertikaian semasa hari pengundian, Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP atau Ketua Pusat Pengundian hendaklah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membolehkan pemilihan dijalankan.


KETUA PUSAT PENGUNDIAN DAN PEGAWAI PUSAT PENGUNDIAN


(1) Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP hendaklah melantik seorang pekerja Universiti sebagai Ketua Pusat Pengundian yang hendaklah mengawalselia proses pengundian di Universiti.


(2) Ketua Pusat Pengundian tidak boleh menjadi ahli dalam mana-mana jawatankuasa yang ditubuh di bawah peraturan 4.


(3) Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP hendaklah melantik pekerja Universiti sebagai Pegawai Pusat Pengundian untuk membantu dalam proses pemilihan.


KEBENARAN MASUK KE PUSAT PENGUNDIAN, dsb.


(1) Tiada sesiapa boleh berada di Pusat Pengundian melainkan dengan kebenaran Ketua Pusat Pengundian. 


(2) Bilangan pengundi yang dibenarkan masuk ke Pusat Pengundian pada satu-satu masa akan ditentukan oleh Ketua Pusat Pengundian.


(3) Semua calon, pencadang calon dan penyokong pencadangan calon hendaklah mematuhi semua prosedur yang dibuat dan arahan yang diberikan oleh Ketua Pusat Pengundian yang berkenaan dari semasa ke semasa.


(4) Ketua Pusat Pengundian hendaklah memastikan ketenteraman di Pusat Pengundian.


(5) Jika mana-mana orang menimbulkan kacau ganggu, kegusaran atau sebagainya yang pada pandangan Ketua Pusat Pengundian boleh mengganggu kelancaran proses pengundian, Ketua Pusat Pengundian atau mana-mana Pegawai Pusat Pengundian boleh mengarahkan orang itu meninggalkan Pusat Pengundian dengan serta merta.


(6) Kuasa yang diberi di bawah subperaturan (5) tidak boleh dilaksanakan sehingga boleh menafikan hak seseorang pelajar ijazah dasar untuk mengundi.


LARANGAN PADA HARI PENGUNDIAN, dsb.


(1) Tiada calon, pencadang calon, penyokong pencadangan calon atau pengundi boleh dibenarkan untuk─

(a) menjalankan sebarang bentuk kempen sama ada bercetak atau lisan pada hari pengundian di dalam Kampus;
(b) menunjukkan identiti yang melambangkan identiti sesebuah kumpulan; 

(c) berkelakuan tidak sopan di kawasan Pusat Pengundian; 

(d) mengganggu kelancaran proses pengundian dengan apa jua cara termasuklah─
 

(i) berusaha meraih atau merayu undi; 

(ii) mengedar senarai nama calon kepada pengundi; 

(iii membuat bising atau sebarang gangguan di sekitar Pusat Pengundian; atau

(iv) mengganggu atau menghalang Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP atau Pegawai Pusat Pengundian daripada menjalankan tugas. 
 

(e) mengundi lebih daripada sekali; atau 
 

(f) membawa apa-apa dokumen atau barang terlarang seperti yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP ke dalam Pusat Pengundian kecuali dokumen atau barang yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.


(2) Calon, pencadang calon, penyokong pencadang calon atau mana-mana pengundi bolehlah membuat aduan mengenai perkara di bawah peraturan ini kepada Ketua Pusat Pengundian.


(3) Ketua Pusat Pengundian hendaklah memutuskan perkara-perkara berhubung dengan aduan yang diterima di bawah subperaturan (2).


(4) Mana-mana calon, pencadang calon, penyokong pencadang calon atau pengundi yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pusat Pengundian di bawah subperaturan (3) boleh mengemukakan rayuan kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.


KOMPUTER PELAYAN DAN KOMPUTER UNDI


(1) Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP hendaklah menyediakan komputer pelayan dan komputer undi yang mencukupi untuk pengundian setiap Pusat Pengundian.


(2) Sebelum pengundian dimulakan, Jawatankuasa Audit Pemilihan MPP hendaklah mengesahkan sama ada di dalam atau tidak kehadiran calon, pencadang calon atau penyokong pencadangan calon bahawa─ 

          (a) setiap komputer pelayan yang akan digunakan semasa pengundian tidak mempunyai apa-apa data berkenaan pengundian; dan 

          (b) setiap komputer undi yang disediakan tidak mengandungi apa-apa aplikasi lain kecuali sistem e-kertas undi dan sistem itu belum digunakan untuk tujuan pengundian.


(3) Jawatankuasa Audit Pemilihan MPP hendaklah memperakukan kesahihan komputer pelayan dan komputer undi setelah berpuas hati dengan kesahihan komputer pelayan dan komputer undi yang disediakan di Pusat Pengundian.


(4) Sekiranya tiada calon, pencadang calon atau penyokong pencadangan calon hadir semasa pengesahan di bawah subperaturan (2), Ketua Pusat Pengundian boleh meneruskan proses pengundian tersebut sehingga tamat.


(5) Ketua Pusat Pengundian hendaklah menutup sistem aplikasi e-undi selepas tamat tempoh pengundian, sama ada calon, penyokong calon atau penyokong pencadangan calon hadir atau tidak hadir.


PENGUNDIAN DAN PENJUMLAHAN UNDI SECARA E-UNDI


(1) Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP boleh menentukan pengundian dan penjumlahan undi dilaksanakan secara e-undi.


(2) Pengundian secara e-undi hendaklah dibuat dengan menggunakan komputer undi atau melalui aplikasi di telefon pintar.


(3) Seseorang pengundi hendaklah mengundi mengikut tatacara dan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.


(4) Aplikasi sistem e-kertas undi adalah sulit dan hendaklah dikendalikan secara terkawal dan digunakan pada hari pengundian.


(5) Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP hendaklah menentukan tempat dan proses penjumlahan undi.


(6) Mana-mana calon, pencadang calon atau penyokong pencadangan calon boleh mengemukakan bantahan secara bertulis terhadap penjumlahan undi kepada Ketua Pusat Pengundian atau wakilnya.


(7) Bantahan di bawah subperaturan (6) boleh dibuat─ 

          (a) selepas pengumuman keputusan penjumlahan undi; atau 

          (b) selepas keputusan penjumlahan undi dipamerkan,

tertakluk kepada apa-apa bayaran yang ditentukan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.


(8) Selepas tamat tempoh pengundian, Ketua Pusat Pengundian hendaklah memastikan segala peralatan, perkakasan, perisian atau dokumen berkaitan pengundian disimpan di tempat yang selamat.