PENAMAAN CALON

 


JUMLAH AHLI MPP
Bagi maksud pemilihan MPP, Naib Canselor hendaklah menentukan jumlah ahli MPP mengikut cara yang berikut: 

(a) bagi kawasan Fakulti, bilangan ahli MPP hendaklah sama dari setiap Fakulti; dan 
 
(b) bagi kawasan Umum, bilangan ahli MPP hendaklah tidak lebih daripada setengah daripada bilangan ahli yang ditentukan di bawah perenggan (a). 
 

KELAYAKAN CALON

  (1) Bagi maksud pemilihan MPP, pelajar ijazah dasar yang memenuhi kriteria berikut layak untuk menjadi calo

 

(a) pelajar ijazah dasar yang bukan pelajar luar Universiti;
(b) pelajar ijazah dasar Universiti yang berstatus aktif;
(c) pelajar ijazah dasar yang tidak pernah didapati bersalah atas suatu kesalahan tatatertib oleh pihak berkuasa tatatertib Universiti;
(d) pelajar ijazah dasar yang mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya setahun atau dua semester berdasarkan tempoh pengajian minimum bagi program pengajian yang diikutinya;

(e) pelajar ijazah dasar yang telah menduduki peperiksaan pertamanya di Universiti dan- 

          i) Memperolehi keputusan peperiksaan dengan purata nilaian gred kumulatif (PNGK) tidak kurang daripada 2.75 pada peperiksaan  yang terakhir didudukinya di Universiti sebaik sahaja sebelum pengisytiharan pemilihan; atau 

          ii) Bagi pelajar ijazah dasar program MBBS dan program pengajian BDS,memperolehi sekurang-kurangnya Gred Lulus pada peperiksaan yang terakhir didudukinya di Universiti sebaik sahaja sebelum pengisytiharan pemilihan dan tidak pernah gagal atau mengulang mana-mana kursus di sepanjang tempoh pengajian yang telah  dijalankan.

  (2) Mana-mana pelajar ijazah dasar yang prosiding tatatertib terhadapnya masih belum selesai tidak layak menjadi calon,melainkan  jika dibenarkan secara bertulis oleh Naib Canselor.

  (3) Apa-apa kekeliruan berkenaan senarai pelajar berstatus aktif boleh dirujuk kepada bahagian yang bertanggungjawab   dalam hal ehwal akademik Universiti untuk pengesahan status pelajar.

 

STATUS PENCALONAN

(1) Mana-mana calon yang bertanding di dalam pemilihan MPP hendaklah bertanding atas kapasiti individu dan bukan mewakili          mana-mana pertubuhan atau kumpulan orang sama ada di dalam atau di luar Kampus.
(2) Seseorang calon hanya boleh bertanding bagi satu kawasan pemilihan sahaja.
(3) Bagi kawasan Fakulti, calon hendaklah seorang pelajar ijazah dasar Fakulti berkenaan.
(4) Bagi kawasan Umum, calon hendaklah seorang pelajar ijazah dasar Universiti di Fakulti yang tertentu mengikut zon yang  ditetapkan. 

(5) Seseorang calon tidak boleh menjadi pencadang calon atau penyokong pencadangan calon kepada mana-mana calon yang lain.


PENAMAAN CALON
 (1) Mana-mana pelajar ijazah dasar yang hendak bertanding untuk pemilihan MPP hendaklah membuat penamaan calon secara atas talian (online) berdasarkan proses dan tatacara yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.
 (2) Mana-mana pelajar yang berhasrat untuk bertanding dalam pemilihan MPP hendaklah membuat bayaran cagaran dan apa-apa bayaran proses mengikut kadar yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.


PENCADANG DAN PENYOKONG PENCADANG CALON

(1) Mana-mana pelajar ijazah dasar Universiti dan berstatus aktif boleh menjadi pencadang dan penyokong pencadangan calon.

(2) Pencadang dan penyokong pencadangan calon bagi kawasan Fakulti hendaklah terdiri daripada pelajar ijazah dasar Fakulti berkenaan,

 (3) Pencadang dan penyokong pencadangan calon bagi kawasan Umum adalah terbuka kepada semua pelajar ijazah dasar Universiti yang berstatus aktif di Fakulti yang tertentu mengikut zon yang ditetapkan.
  (4) Pencadang atau penyokong pencadangan calon bagi mana-mana calon tidak boleh menjadi pencadang atau penyokong pencadangan calon lain.
  (5) Pencadang dan penyokong pencadangan calon hendaklah mengesahkan status mereka sebagai pencadang dan penyokong  pencadangan calon melalui sistem penamaan calon yang berkenaan.

PENGESAHAN PENAMAAN CALON

 (1) Bagi calon kawasan Umum, penamaan calon yang berkenaan hendaklah disahkan oleh pegawai Universiti yang dilantik oleh Naib Canselor di bawah subperaturan 5(3).

 (2) Bagi calon kawasan Fakulti, penamaan calon yang berkenaan hendaklah disahkan oleh Dekan Fakulti berkenaan atau mana- mana pegawai yang diberi kuasa oleh Dekan Fakulti berkenaan.

 (3) Bagi maksud pengesahan penamaan calon, calon dikehendaki hadir bersama dengan pencadang dan penyokong pencadangan calon di hadapan pegawai yang dinyatakan di subperaturan (1) dan (2) di atas, di mana berkenaan.


 (4) Pegawai yang diberi kuasa untuk mengesahkan penamaan calon seperti di subperaturan (1) dan (2) di atas hendaklah, menyemak butir-butir di dalam sistem e-penamaan calon, membuat pengesahan secara atas talian (online) di dalam sistem penamaan calon tersebut berdasarkan proses dan prosedur yang ditetapkan.

  (5) Proses pengesahan penamaan calon sepertimana dinyatakan di subperaturan (1) ,(2) dan (3) di atas hendaklah dilaksanakan di dalam tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP

  (6) Apa-apa pindaan ke atas maklumat penamaan calon di dalam sistem penamaan calon yang berkenaan hendaklah dilakukan sebelum penamaan calon disahkan oleh pegawai yang diberi kuasa. Tiada apa-apa pindaan boleh dibuat selepas pengesahan penamaan calon telah dilakukan menurut subperaturan (5) di atas.

PENGUMUMAN CALON YANG LAYAK BERTANDING


Selepas tamat tempoh penamaan calon, senarai nama calon mengikut kawasan pemilihan yang dipertandingkan akan dipaparkan di laman web yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP dan di papan notis rasmi Universiti atau di tempat lain di Universiti yang mudah dilihat sebagaimana ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.


BANTAHAN TERHADAP PENCALONAN

 (1) Mana-mana pelajar ijazah dasar Universiti boleh mengemukakan bantahan terhadap pencalonan seseorang calon secara  atas talian (online) berdasarkan proses, tatacara dan di dalam tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana  Pemilihan MPP .

   (2) Bantahan terhadap sesuatu pencalonan boleh dibuat berdasarkan alasan yang berikut:

(a) seseorang calon itu tidak layak atau telah hilang kelayakan untuk dipilih menjadi ahli MPP; 
(b) seseorang calon mengemukakan maklumat palsu dalam dokumen penamaan calon; 
 (c) dokumen penamaan calon tidak mematuhi mana-mana peruntukan Peraturan-Peraturan ini. 
(d) seseorang calon itu tidak mematuhi mana-mana peruntukan Peraturan-peraturan ini atau tatacara yang telah ditetapkan.

 (3) Setiap bantahan boleh dikenakan bayaran mengikut kadar yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP dan hendaklah dibayar kepada Bursar atau pekerja Universiti yang diberi kuasa oleh Bursar Universiti.

 (4) Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP atau mana-mana pekerja Universiti yang diberi kuasa oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP hendaklah, selepas tamat tempoh bantahan, membuat keputusan mengenai keesahan setiap bantahan dan memaklumkan calon dan pelajar yang mengemukakan bantahan itu mengenai keputusan bantahan tersebut.  Keputusan dan pemakluman mengenai bantahan yang dibuat menurut perenggan ini hendaklah dibuat secara atas talian (online) berdasarkan proses, tatacara dan di dalam tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.      

  (5) Jika sesuatu bantahan diputuskan sah, pencalonan calon yang berkenaan hendaklah ditolak.

  (6) Pembayaran yang dibuat menurut sub-peraturan (3) di atas tidak akan dikembalikan sama ada bantahan diterima atau  ditolak.

RAYUAN TERHADAP KEPUTUSAN BANTAHAN PENCALONAN

 (1) Mana-mana pelajar ijazah dasar yang telah membuat bantahan di bawah peraturan 19 dan tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat di bawah subperaturan 19 (4), boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut secara atas talian (online) berdasarkan proses, tatacara dan di dalam tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana  Pemilihan MPP.

 (2) Mana-mana calon yang pencalonannya ditolak di bawah subperaturan 19 (5) boleh mengemukakan rayuan terhadap penolakan pencalonannya secara atas talian (online) berdasarkan proses, tatacara dan di dalam tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.

 (3) Setiap rayuan boleh dikenakan bayaran mengikut kadar yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP dan hendaklah dibayar kepada Bursar atau pekerja Universiti yang diberi kuasa oleh Bursar Universiti.

 (4) Jawatankuasa Rayuan Pemilihan MPP hendaklah, selepas tamat tempoh rayuan yang dibuat menurut peraturan ini,  membuat keputusan mengenai keesahan setiap rayuan dan memaklumkan pembantah dan calon yang berkenaan mengenai keputusan rayuan tersebut. Keputusan dan pemakluman mengenai rayuan yang dibuat menurut perenggan ini  hendaklah dibuat secara atas talian (online) berdasarkan proses, tatacara dan di dalam tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.

  (5)  Jika sesuatu rayuan yang dibuat di bawah subperaturan 20(1) diterima, pencalonan calon akan ditolak. Jika sesuatu  rayuan yang dibuat di bawah subperaturan 20(2) diterima, pencalonan calon akan dikekalkan.

 (6) Pembayaran yang dibuat menurut sub-peraturan (3) di atas tidak akan dikembalikan sama ada rayuan diterima atau ditolak.


PENARIKAN BALIK PENCALONAN

 (1) Seseorang calon boleh menarik diri daripada pemilihan  MPP pada bila-bila  masa  secara  atas talian  (online) sebelum senarai muktamad  calon  yang  layak  bertanding  di  bawah peraturan 22 diumumkan. Wang cagaran yang dibayar menurut subperaturan 15(2) akan dikembalikan.

(2) Penarikan diri yang dibuat selepas senarai muktamad calon  yang layak bertanding   di   bawah   peraturan   22  diumumkan tidak akan diterima. Wang cagaran yang dibayar menurut subperaturan 15(2) tidak akan dikembalikan.


PENGUMUMAN AKHIR CALON YANG LAYAK BERTANDING


Selepas keputusan rayuan di bawah subperaturan 20(4) diumumkan, senarai muktamad calon yang layak bertanding akan dipaparkan di laman web pelajar yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP dan di papan notis rasmi Universiti atau di tempat lain di Universiti yang mudah dilihat sebagaimana ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP.


CALON MENANG TANPA BERTANDING

 (1) Sekiranya bilangan calon yang bertanding bagi kawasan Fakulti sama dengan atau kurang daripada jumlah wakil yang diperuntukkan bagi kawasan Fakulti itu, calon berkenaan akan diisytiharkan menang tanpa bertanding.

 (2) Sekiranya bilangan calon yang bertanding bagi kawasan Umum sama dengan atau kurang daripada jumlah wakil yang diperuntukkan bagi kawasan Umum itu, calon berkenaan akan diisytiharkan menang tanpa bertanding.